Rasulullah bersabda maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam. (Hadis riwayat Ahmad)
Antara adab berkunjung bukan saja pada hari raya, malah pada bila-bila masa adalah:
. Meminta izin dan memberi salam.
Jika salam pertama tidak dijawab, ulangi tiga kali. Jika masih tiada jawapan, beredar dengan hati lapang tanpa menyimpan prasangka buruk terhadap tuan rumah.
Dalam hadis sahih, Abu Musa berkata, dia mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: Apabila kamu meminta izin sebanyak tiga kali, tetapi tidak mendapat keizinan, hendaklah kamu beredar.
Tidak berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdiri menghadap ke arah lain. Jadikan pintu berada di sebelah kanan atau kiri. Hal ini untuk mengelak pengunjung terpandang aurat tuan rumah atau terpandang sesuatu yang tidak elok apabila pintu dibuka. (Rujuk hadis riwayat Abu Daud daripada Abdullah bin Basyar)
. Jangan menyusah dan menyulitkan tuan rumah.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Syuraih bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: Tidak halal bagi seseorang Muslim tinggal di rumah saudaranya hingga menyebabkan dia berdosa.
Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana dia boleh menyebabkan sahabatnya berdosa? Baginda menjawab: Dia tinggal di rumah saudaranya sedangkan saudaranya itu tidak ada sesuatu pun untuk dihidangkan kepadanya.
Jadi, jika hendak bertandang, jangan tinggal lebih tiga hari atau ketika saudara berada dalam kesempitan.
. Bermanis muka serta jauhi perkataan haram dan sia-sia.
Daripada Abu Zarr katanya, Rasulullah berkata kepadaku: Jangan engkau perkecilkan perkara yang baik itu walaupun sedikit, termasuk bertemu saudaramu dengan wajah ceria. (Hadis riwayat Muslim)
. Segera beredar apabila tujuan kedatangan sudah terlaksana.
Dalam ayat berikut, Allah mengajar sahabat adab berkunjung ke rumah Nabi Muhammad yang wajar dicontohi. Firman-Nya bermaksud: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian selepas kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi hingga dia berasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedangkan Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. (Surah al-Ahzab, ayat 53)
. Jaga batas pergaulan khususnya dengan isteri tuan rumah (bagi tetamu lelaki).
Firman Allah bermaksud: Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka daripada sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.(Surah al-Ahzab, ayat 53)
Adab serta kelebihan menyambut tetamu.
Menyambut dan memuliakan tetamu adalah kemuliaan yang dituntut Islam. Ini dianggap satu daripada tanda keimanan seseorang.
Sabda Nabi bermaksud: Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. (Sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)
Adab menyambut tetamu ialah:
. Menjawab salam dengan cara lebih baik atau sekurang-kurangnya sama dengan ucapan yang diterima.
Firman Allah bermaksud: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balas (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah an-Nisa, ayat 86)
Contohnya, jika tetamu berkata Assalamualaikum, jawab dengan Waalaikumusalam Wa Rahmatullah.
. Persilakan tetamu masuk dengan kata-kata yang baik dan muka manis sambil berjabat tangannya.
Daripada Al-Barra bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: Apabila bertemu dua Muslim dan berjabat tangan, diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah. (Hadis riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun, berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dilarang.
. Jika tetamu datang dari jauh harus dipeluk dan dicium.
Saidatina Aisyah berkata: Ketika Zaid Harithah tiba di Madinah, Rasulullah berada di rumahnya. Beliau datang ke rumah dan mengetuk pintu. Baginda bangkit lantas memeluk dan menciumnya. (Hadis riwayat at-Tirmizi)
. Segera hidangkan makanan dan minuman paling baik sekadar termampu.
Kalau boleh pada hari pertama, tetamu dijamu hidangan lebih istimewa daripada kebiasaan.
Allah menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim menyambut tetamu dalam firman-Nya bermaksud: Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan Kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan. Mereka memberi salam dengan berkata: Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim). Nabi Ibrahim menjawab: Salam sejahtera kepada kamu. Maka tidak berapa lama selepas itu, dia membawa jamuan untuk mereka; seekor anak lembu yang dipanggang. (Surah Hud, ayat 69)
. Menunaikan hak tetamu dengan sebaik-baiknya iaitu menyediakan makanan dan minumannya selama tiga hari tiga malam.
Jika tetamu menginap lebih lama, anggaplah apa yang disediakan selepas itu sebagai sedekah yang diberi ganjaran pahala berlipat ganda. Sekiranya kesempitan, berbincang dengan mereka secara bijaksana.
__________________
By viovox
- Islam itu bersaudara, usahlah bergaduh...